rakan maya

Saturday, April 23, 2016

Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan Untuk Murid Sekolah Malaysia (SEGAK)

-Sumber KPM- 

Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan Untuk Murid Sekolah Malaysia
(SEGAK) adalah satu bateri ujian standard kecergasan fizikal bagi mengukur
tahap kecergasan fizikal murid berdasarkan kesihatan. Komponen
kecergasan dalam SEGAK terkandung dalam kurikulum Pendidikan Jasmani
sekolah rendah dan sekolah menengah.

Menurut Corbin dan Lindsey (2006), kecergasan adalah keupayaan sistem
badan bekerja dengan efisien bagi membolehkan seseorang itu sihat dan
dapat melaksanakan aktiviti dalam kehidupan seharian. Komponen
Kecergasan berdasarkan kesihatan terdiri daripada daya tahan
kardiovaskular, daya tahan otot, kekuatan otot, fleksibiliti, dan komposisi
badan.

Tahap kecergasan berdasarkan kesihatan yang tinggi memberi
faedah kepada seseorang itu memiliki kesihatan yang baik, bertenaga, dan
mempunyai keupayaan untuk melakukan aktiviti harian dengan berkesan.
Kajian yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia sejak tahun
1986 hingga kini menunjukkan kadar peningkatan peratus rakyat Malaysia
mengidap penyakit kronik, penyakit tidak berjangkit, dan obesiti adalah amat
membimbangkan. Masyarakat Malaysia perlu mengubah cara hidup
sedentari kepada cara hidup aktif dan sihat dengan memberi fokus kepada
meningkatkan tahap kecergasan fizikal. Kecergasan fizikal yang optimum
boleh membantu seseorang itu melaksanakan aktiviti harian dengan aktif
tanpa berasa letih. Selaras dengan itu, satu aktiviti kecergasan yang
terancang di sekolah perlu dilaksanakan dengan sempurna mengikut
prosedur dan norma yang ditetapkan.

Pada tahun 2008 SEGAK mula dilaksanakan kepada murid Tahun 4 hingga
Tingkatan 5 yang berumur 10 tahun hingga 17 tahun. SEGAK dilaksanakan
secara pentaksiran sekolah dan skor murid direkodkan. Pelaporan SEGAK
memberi maklum balas kepada murid, guru, pentadbir sekolah, ibu bapa,
dan pihak berkepentingan tentang tahap kecergasan fizikal murid. Melalui
maklum balas tersebut tindakan susulan dapat dirancang dan dilaksanakan

bagi meningkatkan tahap kecergasan fizikal seseorang murid. 

No comments:

Post a Comment